

Profesor Dr. Tan Hock Lim merupakan seorang pakar bedah pediatrik kanan Malaysia yang bekerja di Australia . Beliau telah kembali dan menyumbang kepakarannya dalam merancang pusat ASSC. Profesor Dr. Tan Hock Lim dibantu oleh sepasukan pakar tempatan di UKMMC dan di bawah bimbingan mantan Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah UKMMC, Profesor Dato’ Dr. Lokman Saim untuk mewujudkan tapak pembinaan dan fasa pertama ASSC.
Profesor Dr. Tan Hock Lim yang dilantik sebagai Profesor Ulung UKM pada tahun 2007 meletakkan KPI utamanya untuk menubuhkan sebuah pusat latihan kemahiran pembedahan termaju yang memusatkan instumentasi berteknologi tinggi dan kepakaran global di bawah satu bumbung, dijenamakan sebagai Advanced Surgical Skills Centre (ASSC).
ASSC mempunyai bangunan binaan 5 tingkat yang dikhaskan khusus untuk latihan kemahiran perubatan dan pembedahan doktor dan pegawai kesihatan sekutu. ASSC dibina untuk berdiri sendiri, bukan milik mana-mana jabatan, yang tidak mempunyai batasan kepakaran. Upacara pecah tanah diadakan pada tahun 2010 dan pembinaannya selesai pada tahun 2012.
Bangunan ASSC yang terletak bersebelahan bangunan asrama jururawat telah diserahkan untuk penggunaan pada 31 Julai 2012. Pusat ini tidak dapat menjalankan aktiviti dengan sepenuhnya memandangkan tiada peralatan dan kelengkapan pada masa itu. Bangunan ini masih di dalam tempoh tanggungan pihak kontraktor untuk membaikpulih sebarang kerosakan sehingga 31 Julai 2013. Bagi membolehkan kerosakan dikesan, kakitangan ASSC juga telah ditempatkan di bangunan ini sejak Oktober 2012.